"Selamat pagi sayang..." ternyiang-nyiang lagu nyanyian Noor Kumalasari di corong radio pagi ini, ketika ini. Lagu yang pernah saya tujukan kepada awak. Awak gembira menerimanya.
Pernah suatu ketika, setiap pagi saya pasti mengutus salam dan mengucapkan selamat pagi kepada awak. Ia jadi rutin harian kita sejak bertahun. Kekadang awak yang mulakan dulu. Tapi biasanya, saya yang lebih awal menyapa. Dan kita mulakan hari kita masing-masing selepas itu.
Lagu masih berkumandang dan ingatan terus menerawang di segenap ruang fikir dan di mata hati. Awak yang saya panggil dengan pelbagai nama, membuat saya tersenyum pagi ini. Kadang-kadang awak suka dan kadang-kadang awak lemas dengan panggilan-panggilan itu. Saya terus mengusik awak. Kenangan itu indah. Saya terus mengukir senyum dan saya ingin mengulangi saat-saat itu semula.
Lagu telah tamat didendangkan, tapi ingatan dan kasih sayang saya kepada awak tidak akan pernah tamat. Ia akan terus mekar segar di hati ini pada masa ini dan untuk selama-lamanya.
Selamat pagi, sayang...
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan