Salam sayang buat sayang...
Jari jemari terus menari-nari di papan kekunci ini untuk menulis sesuatu pada awak. Selagi jari masih berfungsi, selagi hati saya ini masih di dalam genggaman hati awak (jangan pulangkan hati saya itu; biar terus bertahta di hati awak), selagi hayat di kandung badan, selagi itulah sedaya upaya akan saya coretkan kepada awak; samada awak membacanya ataupun tidak.
Seharian di sepanjang perjalanan ini, lagu-lagu di radio menjadi begitu bermakna. Hampir setiap lagu yang berkumandang, ada saja liriknya yang bercerita tentang kita.
Kalau dahulu, hanya lagu-lagu cinta kasih dan lagu-lagu riang dan ceria saja yang memberi erti setiap kali mendengarnya, tapi kini hampir setiap lagu suka dan duka; memberi pengertian tertentu pada hati ini. Bibir mengukir senyum sambil mengikut bait-bait lirik lagu kenangan kita. Hati bertukar pilu bila lagu-lagu sedih mengambil alih. Hati diruntun rindu yang teramat bila lagu-lagu rindu berkumandang.
Semuanya mempunyai pengertian tersendiri. Begitu juga dengan dirimu, sayang. Kehadiran awak di dalam hidup saya telah memberi pengertian tersendiri kerana awak sememangnya adalah teristimewa buat saya.
Semoga jari jemari ini terus menari sedang hati sentiasa mendoakan kebahagiaan awak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan