Khamis, 30 Jun 2016

Gembira Dan Terharu

Gembira...
bila awak masih sudi menyapa
ia jadi hari baru yang indah buat saya
senyuman terukir sepanjang siang dan malam

Terharu...
sapaan ringkas awak menguatkan saya
membangunkan saya dari lena yang panjang
terasa hidup semula setelah seolah mati

Terima kasih, sayang...
membuat siang saya lebih terang
menjadikan malam saya lebih indah
awak tahu dan saya pun tahu
awaklah mewangi saya selama-lamanya
 
posted from Bloggeroid
 
 

Rabu, 29 Jun 2016

Sapaan Pagi

Selamat pagi, sayang...

Semoga awak sihat, ceria dan bahagia. Walau di mana jasad awak berada, hati awak sentiasa berada di dalam hati saya.

Saya rindu awak...
posted from Bloggeroid

Selasa, 28 Jun 2016

Sayang Di Mana?

Membaca semula diari kita
senyum dan airmata bercantum
banyak yang kita kongsi bersama
suka duka mencoret peristiwa
kini masih tertanya-tanya
mengapa berjuta-juta detik menghilang diri
mengharap kehadiranmu kembali
mewarnai semula kehidupan suram ini

Mewangiku
yang menjadikan malamku lebih indah
menghias langit dengan kerlipan bintang
yang menjadikan siangku lebih terang
menghias langit dengan pelangi petang
sekali bertahta di hati ini
selama-lamanya berada di hati ini
akan terus ku nanti hingga bertemu lagi

Sayang... sayang di mana?
posted from Bloggeroid

Isnin, 27 Jun 2016

Terlalu Rindu

Kehilangan bicara kata bila hati terlalu rindu
rindu yang teramat, berdebar-debar dada ini
kesepian melanda jiwa, berasa terlalu sunyi

Hadirlah sayang, rawat dan leraikanlah rindu ini
I miss u, I luv u...

Ahad, 26 Jun 2016

Salam Hujung Minggu

Salam hujung minggu, sayang...

Selamat beristirehat bersama mereka yang tercinta. Kenang saya dalam doa awak.


 

Sabtu, 25 Jun 2016

Maafkan Saya

Maafkan saya...
dalam setiap detik merindu
dalam setiap hari menunggu
akal semakin banyak memikir
mengakui sayalah yang bersalah
di dalam hubungan kita ini
hingga awak terpaksa menghilang diri

Maafkan saya...
mungkin terlalu banyak memberi
kasih, sayang, cinta dan segalanya
walau ia lahir dari hati tulus murni
tapi ada batas yang perlu diperhati
tidak terpikul awak menanggungnya
walau indah bila menikmati

Maafkan saya...
perasaan ini tidak tertahan
segala rasa adalah tulus ikhlas
kita tidak pernah merancang
tetapi perasaan itu muncul sendiri
walau tahu terjerat dengan halangan
terus terleka sehingga merana

Maafkan saya, sayang...
mengingatimu sepenuh hati
merinduimu sehingga mati
mengharap bertemu di syurga nanti
hanya awak sahaja ada di hati
tidak mungkin akan ada pengganti
 
 
 
 
 

Jumaat, 24 Jun 2016

Khamis, 23 Jun 2016

Cinta Sepi

Walau hilang di mata
sentiasa ada di dalam hati
awak terus menyepi
saya terdiam sepi

Cinta saya pada awak
semakin hari semakin teguh
akan saya bawa cinta ini
walau di mana kaki melangkah
kekuatan cinta ini
terus mewarnai hidup
awaklah cinta saya...

 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 

Rabu, 22 Jun 2016

Merisik Khabar

Assalamualaikum sayang...

Saya terus menulis tanpa mengetahui khabar berita daripada awak. Pertanyaan saya tentang khabar, tidak berjawab. Saya cuba mengerti.

Sesekali, dapatlah kiranya mengirim berita. Sekurang-kurangnya saya tahu khabar dan cerita. Tapi kalau awak terus mengambil sikap berdiam diri, saya terpaksalah terima keputusan itu bagi menghormati permintaan awak sambil berharap sangat hubungan kita bercantum kembali.

Bukan senang sebenarnya melalui detik-detik seperti sekarang ini. Teringat keramahan awak, memang terasa sunyi sepi bila kehilangan senda gurau dan bual bicara kita.

Redup petang ini dengan seri sinar mentari petang, ingatan pada awak makin kuat. Keakraban kita yang begitu jitu, hilang secara tiba-tiba. Saya amat terasa kehilangan itu. Amat-amat merasainya. Tiada pengalaman seperti ini, sebelum ini. Tidak mahu ada pengalaman seperti ini lagi.

Sayang...
Walau di mana awak berada dan walau apapun yang sedang awak lakukan sekarang, hanya doa dari jauh daripada saya, agar awak sentiasa berada di dalam keadaan sihat dan bahagia. Selagi bernyawa, awak sentiasa ada di dalam hati saya. I luv u.
  
Salam sayang buat tersayang...


posted from Bloggeroid

 

Selasa, 21 Jun 2016

Doa Bahagia

Hari terus berlalu pergi membawa kenangan semalam, mentari muncul lagi untuk hari baru dan semangat baru.

Mendoakan kebahagiaan berterusan menjadi milikmu selama-lamanya bersama dengan semua yang disayangi dan yang menyayangi.

Salam sejahtera bidadariku...
 
 
 
 

Isnin, 20 Jun 2016

Bisikan Hati

Berbisik-bisik di hati sendiri:

Salamku bersambut seadanya
nada balasmu seolah tiada berjiwa
pertanyaanku tidak berjawab
bagai ada isyarat yang tidak ternyatakan
diammu memberi seribu makna tersembunyi
aku tertanya-tanya di hati sendiri

Apakah jawapanmu ada pada balasan salam itu
dan aku sengaja buat tidak mengerti dan peduli
bagaimana mungkin kubiarkan gelojak rasa ini
sekali hatiku bercantum, selamanya ia dihatimu

Sayang...
kenangan bersamamu tergambar di mata
setiap kata-katamu di dalam diari kita
menguatkan rasa tentang kita
biarlah aku meneruskan percintaan ini
walau aku mungkin keseorangan dalam perjalanan ini
seribu tahun rela ku tunggu
sehingga dirimu tahu cintaku ikhlas buatmu




Ahad, 19 Jun 2016

Selamat Ulang Tahun Cinta

Tarikh ini setahun yang lalu
ada peristiwa yang termetri
ingin menyambut kenangan itu
tapi awak menghilang diri
senyap sunyi seribu bahasa

Saya meraikan seorang diri di sini
mengharap awak juga teringat tarikh ini
lalu awak menarik nafas seketika
meraikan juga saat ini di sana
mengenang memori indah itu
yang tentu meninggalkan nostalgia

Selamat Ulang Tahun Cinta
kali pertama melafaskan kepada awak
ungkapan tulus nan indah  'I love you'
dengan berbisik awak membalasnya
bukan hanya di bibir saja
menyerap hingga ke dalam jiwa

Sayang...
Selamat Ulang Tahun pertama
walau tidak bersama kali ini
harap dapat meraikan bersama
di tahun hadapan dan tahun seterusnya
malah selama-lamanya...
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Sabtu, 18 Jun 2016

Kekal Indah

Resah menanggung rindu melangit
mencari damai di hati sendiri
mengharap kekasih muncul semula
melerai rindu menenangkan jiwa

Walau apa yang sedang dilakukan
walau di mana berada ketika ini
diri awak sentiasa di hati saya
sejuk segar jiwa ini bersama awak
tiada ruang lagi untuk yang lain
biar kekal indah di sanubari
buat selama-lamanya
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 
 

Jumaat, 17 Jun 2016

Warkah Buat Bidadari

Assalamualaikum sayang...

Semoga berada dalam situasi sejahtera, sihat, ceria dan bahagia. Semoga apa jua yang diusahakan, dipermudahkan dan diberikan kejayaan.

Alhamdulillah, saya sihat saja. Menjalani tugas rutin seadanya dan agak sibuk juga. Ada beberapa perkara yang sedang diusahakan. InsyaAllah berjalan dengan baik. Doakan kejayaan saya.

Lama tidak mendengar khabar berita sehingga hati ini tertanya-tanya. Harap semuanya baik-baik belaka.

Saya di sini, macam biasa. Asyik merindu dan menghitung detik bagi pertemuan yang sekian lama tidak bercantum. Asyik mengenang saat-saat indah ketika kita menganyam kemesraan, membenih kasih sayang, memutik kebahagiaan dan memekar percintaan.

Kenangan itu terlalu indah dengan cara yang kita setuju bersama. Sesuatu yang tidak pernah kita rancang. Takdirlah yang telah menemukan kita. Takdirlah yang telah mengakrabkan kita. Takdir jugalah yang sedang menduga kita.

Saya sungguh-sungguh terasa kehilangan. Sukar untuk menyatakan dengan jelas di dalam tulisan tentang rasa hati ini. Sukar digambarkan dengan lakaran di kanvas lukisan tentang sebak dada ini. Malah bait-bait puisi-puisi saya, tidak dapat memberi maksud yang sepenuhnya tentang perasaan saya ini.

Sementara berharap seri sinar suria petang kembali bercahaya, saya sentiasa mendoakan agar kita berjaya mengharungi ujian ini dengan jaya dan hubungan ini kembali pulih semula seperti sedia kala.

Sekian, duhai kekasih hati.
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Khamis, 16 Jun 2016

Pelabuhan Cinta

Cuaca mendung pagi ini
angin membelai menyapu wajah
terasa dingin, nyaman dan damai
wajah murung itu cuba tersenyum
cuba menyelami keindahan alam

Akukah itu yang sedang bermenung
teringat bidadari pujaan hati
entah apa khabarnya waktu ini
semoga sejahtera dan ceria hendaknya

Perasaan ini bercampur aduk
rasa kasih, rasa sayang, rasa cinta, rasa rindu
kenangan kemesraan dan senda gurauan
menerpa ke ruang ingatan hingga ke lubuk hati
sungguh indah waktu itu
terbayang wajah ayu yang kurang berbicara
ramahnya hanya terserlah di dalam diari bersama
akrabnya kita dan saling percaya
semuanya bercantum menjadi satu

Sayangku...
rindu dan cinta ini tetap kukuh
walau badai datang melanda
dugaan yang menimpa ini
adalah ujian kekuatan cinta
harap kita sama-sama
berjaya di pelabuhan cinta
meraikan rasa hati dengan bahagia
bahagia yang bertubi-tubi




Rabu, 15 Jun 2016

Hanya Dalam Mimpi

Semalam awak hadir dalam mimpi saya
awak hanya tersenyum menunduk malu
tiada kata-kata terkeluar dari bibir awak
berbunga-bunga hati saya membalas senyuman itu
bagai ingin menyapa awak
bagai sungguh awak yang hadir

Sayang...
terlerai rindu saya ketika itu
bahagia menghiasi suasana
gembira melihat wajah ayu
yang sekian lama menghilang diri

Lestariku di sini
pegang teguh pada janji terpatri
menanti dan terus menanti
walau hanya bertemu di dalam mimpi
terlerai rindu hanya seketika
mengharap bertemu di alam realiti
memujuk diri agar sabar menanti
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 
 

Selasa, 14 Jun 2016

Sepi

Waktu terus berdetik
terasa sunyi terasa sepi
cuba memujuk diri agar mengerti
ternyata tanpa awak di sisi
kesepian ini tidak dapat disembunyi

Harap tidak begitu pada awak
moga bahagia awak bertubi-tubi
moga ceria awak mewarnai
menjalani kehidupan penuh erti

Kenangan bersama awak tetap indah
tanpa awak hidup jadi melankolia
kasih, sayang dan cinta yang tersemai
akan saya pelihara selama-lamanya



Isnin, 13 Jun 2016

Hari Baru Minggu Baru

Hari baru. Minggu baru. Harap semuanya lancar. Dipermudahkan segala urusan. Ceria. Bahagia.

Semoga siang awak lebih terang dan malam awak akan lebih indah. Diberikan kekuatan untuk memudahkan pekerjaan. Diberikan kesabaran dalam menempuh dugaan. Diberikan kejayaan atas usaha dan kecekalan awak.

Senyuman manis awak itu jangan di simpan. Teruskan senyuman itu. Ia jadi penyeri wajah ayu awak dan menyerikan mereka disekeliling awak.

Saya akan sentiasa berdoa untuk awak. Walaupun saya sangat jauh dari mata awak tapi sebenarnya awak sangat dekat di hati saya. Semoga kita sama-sama berada di dalam lindunganNya dan dirahmati.
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 
 

Ahad, 12 Jun 2016

Harapan Dan Kebahagiaan

Membaca semula nukilan-nukilan saya
terasa saya begitu terlalu mengharap
dan awak tentu kenal benar saya
yang begitu berterus terang pada awak
tentang apa saja yang ingin saya luahkan

Saya perlu utamakan kebahagiaan awak
lebih dari harapan saya sendiri
ketulusan dalam hubungan ini
adalah melihat awak bahagia
andai ada tulisan saya yang buat awak berduka
sayalah yang akan berasa bersalah
dan saya ingin meminta maaf

Harapan saya dan kebahagiaan awak
mungkin sama dan mungkin berbeza
tetapi ia tidak akan menghalang
hubungan tulus ikhlas kita
kerana keutamaan saya
adalah memastikan awak bahagia
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 
 

Sabtu, 11 Jun 2016

Kenangan Dan Harapan

Salam sayang...

Agak-agaknya apa aktiviti awak hari ini? Dulu, di hujung minggu sebegini,  kita sering saling bertanya dan update aktiviti masing-masing.

Bukannya apa pun; sekadar menyapa di pagi hari. Kekok bila memulakan hari tanpa menyalami awak terlebih dahulu.  Dan kita terus berbual seadanya di diari kita hingga kita menutup tirai malam kita.

Pernah sekali itu, awak bertanya kepada saya; 'andai suatu masa kita tidak lagi berbual-bual seperti ini, bagaimana yer?'

Saya terdiam seketika. Mencari-cari jawapan kepada soalan itu. Kemudian saya menjawab kepada awak, 'saya berharap perkara itu tidak akan terjadi. Tapi andainya berlaku, kita boleh saja melalui kehidupan seperti biasa, cuma pasti akan terkenang saat-saat seperti ini.'

Akhirnya, tuhan menguji kita. Kita tidak lagi berbual-bual seperti dulu, seperti selalu. Tapi ternyata, kata-kata saya itu tidak terjadi begitu.

Saya tidak boleh 'melalui kehidupan seperti biasa'. Saya bukan sekadar 'akan terkenang saat-saat seperti ini'; sebenarnya saya sedang rindukan saat-saat itu hadir semula.

Saya rindukan sapaan-sapaan kita. Saya rindukan bualan-bualan kita. Saya rindukan senda gurau kita. Saya rindukan kemesraan kita; malah sekarang ini; saya sangat-sangat rindukan awak!

Semoga awak sedang bahagia walau di mana awak berada. Sesekali bila awak teringatkan saya, ketahuilah kerinduan saya senantiasa menyapa awak.

Rindu sangat pada awak dan sedang menanti awak kembali semula.



posted from Bloggeroid
 
 
 

Jumaat, 10 Jun 2016

Nota Ringkas

Salam buat sayang...

Semoga dirimu dilimpahi kesihatan yang baik, bahagia dan sentiasa manis dengan senyuman yang memikat itu.

Hanya nota ringkas pagi ini. Menyapa awak dalam kerinduan hati. Mengharap perjalanan hidup awak dipermudahkan. Semoga keceriaan awak berpanjangan.

Saya mahu awak terus berjaya dan senantiasa bahagia. I luv u, sayang...
 
 
 
 
 
posted from Bloggeroid

Khamis, 9 Jun 2016

Mencari Dan Menunggu

Pagi tadi saya melalui jalan itu
walau tahu tak akan ternampak
mata terus mencari-cari awak
manalah tahu ada rezeki untuk bersua
walau hanya selayang pandang

Petang tadi mentari muncul setelah hujan berhenti
indah berseri sinarnya menawan sanubari
terlihat senyuman awak di situ
saya leka dan turut tersenyum
lepaskan kerinduan kepada bidadari
dengan membalas senyuman mentari

Sebenarnya saya rindu
pagi dan petang mencari awak
siang dan malam menunggu awak
walau tahu awak masih ada di dalam hati
mata asyik tercari-cari wajah awak
hidung mahu mencium haruman awak
mulut ingin berkata-kata di depan awak
telinga menanti mendengar bisikan suara awak

Sayang...
Saya akan terus merindu
dan akan setia menunggu

posted from Bloggeroid

 

Rabu, 8 Jun 2016

Monolog: Hanya Dia

Perjalanan hidup diteruskan
kaki melangkah menuju tujuan
nafas dihela menetapkan matlamat
mata menuju kepada keperluan
ingatan kepada si bidadari kekal teguh

Dia yang kupanggil sayang
senantiasa ada dihati ini
walau dimana pun dia berada
doaku senantiasa mengiringinya
cintaku padanya adalah luar biasa
akan kupertahankan hingga hujung nyawa
malah berdoa untuk bertemu di syurga

Dia hanya satu
dialah satu-satunya bidadariku
 
 
posted from Bloggeroid
 
 

Selasa, 7 Jun 2016

Saya Menanti Awak Menyepi

Semalam saya cuba hubungi awak. Meminta izin untuk bercakap dengan awak. Ada sesuatu yang saya hendak beritahu awak. Awak tak jawab saya.

Hari ini saya masih menanti jawapan awak. Kalau bernasib baik, dapatlah bercakap-cakap dengan awak. Tiada jawapan. Awak menyepi.

Hingga lewat petang, saya terus menanti dan awak terus menyepi.

Esok saya akan terus menantikan awak. Saya sanggup tunggu awak sampai bila-bila. Saya akan terus sayangkan awak. Luv u my dear. Selama-lamanya.
 
 

posted from Bloggeroid
 
 
 

Isnin, 6 Jun 2016

Setiap Saat Merindu

Indah...
setiap kali mengenang saat mesra bersama awak
senyuman awak yang selalu manis
wajah awak yang sentiasa ayu
gurau senda awak yang  sering memikat

Sayu...
bila awak makin menjauh dari saya
kerinduan pada awak kian menggunung
suara awak yang telah menghilang
menanti tulisan awak yang puitis itu

Rindu...
pada segalanya tentang awak
ingin kasih sayang ini terus bertaut
rasa cinta ini berterusan segar mekar
teringat kata-kata awak mengusik saya
"awak ni setiap saat pun merindu..."

Awak...
saya rindukan awak
memang setiap saat saya rindukan awak...

 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Ahad, 5 Jun 2016

Salam Ramadhan

Azan maghrib sedang berkumandang
Ramadhan tiba kembali sekali lagi
kita bertuah masih bernafas di bulan berkat ini
untuk sama-sama menikmati kelebihannya

Walau kita jauh dari mata
tidak pula saling mengucap salam
dalam menyambut Ramadhan kali ini
hatiku kuat getarnya menyatakan
bahawa kita saling ingin ucapkan
salam Ramadhan itu sesama kita

Sayang...
Selamat menyambut Ramadhan
maafkan segala salah dan silap
semoga Ramadhan kita kali ini
lebih baik nilainya di sisi tuhan
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Sabtu, 4 Jun 2016

Bawa Rindu Hingga Ke Mati

Kenangan terus mengusik jiwa
terkenang-kenang pada si dia
manis senyuman halus ketawa
antara kami tiada rahsia

Membaca diari sesama kita
memori itu datang semula
tempat kita curahkan cerita
suka duka dan segala-gala

Hilangmu buat daku menyepi
hidupku tidak seperti dulu
hanya bertemu di dalam mimpi
harum mewangi seperti selalu

Hadirmu sayang indah sekali
mengingatimu tiada henti
harap kasih bercantum kembali
setiap saat sentiasa ku nanti

Tidak sedetik melupakanmu
sentiasa ada di dalam hati
potretmu ku tatap tiada jemu
ku bawa rindu hingga ke mati



posted from Bloggeroid

Jumaat, 3 Jun 2016

Yang Teristimewa

Salam sayang buat sayang...
 
Jari jemari terus menari-nari di papan kekunci ini untuk menulis sesuatu pada awak. Selagi jari masih berfungsi, selagi hati saya ini masih di dalam genggaman hati awak (jangan pulangkan hati saya itu; biar terus bertahta di hati awak), selagi hayat di kandung badan, selagi itulah sedaya upaya akan saya coretkan kepada awak; samada awak membacanya ataupun tidak.
 
Seharian di sepanjang perjalanan ini, lagu-lagu di radio menjadi begitu bermakna. Hampir setiap lagu yang berkumandang, ada saja liriknya yang bercerita tentang kita.
 
Kalau dahulu, hanya lagu-lagu cinta kasih dan lagu-lagu riang dan ceria saja yang memberi erti setiap kali mendengarnya, tapi kini hampir setiap lagu suka dan duka; memberi pengertian tertentu pada hati ini. Bibir mengukir senyum sambil mengikut bait-bait lirik lagu kenangan kita. Hati bertukar pilu bila lagu-lagu sedih mengambil alih. Hati diruntun rindu yang teramat bila lagu-lagu rindu berkumandang.
 
Semuanya mempunyai pengertian tersendiri. Begitu juga dengan dirimu, sayang. Kehadiran awak di dalam hidup saya telah memberi pengertian tersendiri kerana awak sememangnya adalah teristimewa buat saya.
 
Semoga jari jemari ini terus menari sedang hati sentiasa mendoakan kebahagiaan awak.



Khamis, 2 Jun 2016

Mengintai Dari Jendela Hati

Mengintai awak dari jendela hati
ternyata masih indah berseri
merenung awak dari bayangan mimpi
buatkan diri asyik ternanti-nanti
saya redha dengan takdir ini
berharap dapat bertemu kembali
menyambung ikatan mesra kita

Sentiasa ada di alam nyata
memujuk rayu di alam maya
mendoakan kebahagiaan awak
sambil meminta agar saya juga
sebahagian dari kebahagiaan itu...




Rabu, 1 Jun 2016

Apa Khabar Sayang

Sayang...

Kadang-kadang hanya lagu-lagu yang menjadi teman tika mengingatimu. Ada masanya, kata-kata tidak tertulis, bibir tidak terucap, gambaran hati tidak terlukis.

Pagi ini ku ulang-ulang lagu ini, lalu ku kongsikan liriknya di sini. Ada makna tersurat di dalam lirik itu.

Apa khabar kah engkau... sayang
Lama kita tak jumpa
Salam yang ku sampaikan
Daku percaya tak di terima

Bagaimanakah kau sekarang
Lama daku merindu
Ku seru pada bulan
Namamu dibibirku

Begitulah juga
Seruan hati ku
Tiada jawapan
Yang ku nanti-nantikan

Lamakah lagi
Ku akan menanti
Seribu tahun
Yang tak akan berakhir

Bagaimanakah kau sekarang
Lama daku merindu
Ku seru pada bulan
Nama mu di bibirku

Begitulah juga
Seruan hati ku
Tiada jawapan
Yang ku nanti-nantikan

Lamakah lagi
Ku akan menanti
Seribu tahun
Yang tak akan berakhir

Nyanyian : Sweet Charity