Assalamualaikum sayang...
Selamat Tahun Baru. Semoga sayang berterusan di dalam rahmatNya dan sentiasa berada dalam kebahagiaan.
Alhamdulillah... puji-pujian kepada Allah kerana dengan limpah rahmatNya jua, kita akhirnya bertemu semalam. Alangkah girangnya hati ini sebaik sahaja terpandang wajah sayang. Makbul doa saya apabila melihat kehadiran sayang. Senyum terukir di hati ini. Berdebar-debar jiwa raga ini menoleh sayang dari jauh.
Sebenarnya sejak awal pagi sebelum subuh, terdetik di hati ini bahawa sayang akan hadir di majlis itu. Teringatkan hasrat untuk menghadiahkan buku sempena Hari Ulang Tahun Kelahiran sayang, saya masukkan ke dalam bungkusan. Teringatkan hadiah kenangan yang sepatutnya lama dahulu saya berikan, saya kepilkan ke dalam bungkusan yang sama. Dan teringatkan hasil idea saya yang pertama yang telah diniatkan sebagai hadiah untuk tersayang, saya masukkan juga ke dalam bungkusan itu. Alhamdulillah telah dapat menyerahkannya kepada sayang. Terima kasih kerana sayang sudi menerimanya.
Di sepanjang majlis, mata ini tidak mahu berenggang dari terus melihat wajah kerinduan itu. Hanya menyapa sekilas bicara sahaja. Entah apa yang menyebabkan saya gugup menyusun kata. Entah mengapa saya tidak mengambil kesempatan untuk berada di meja yang sama sambil berbual seperti biasa. Tapi, saya puas. Terubat sedikit kerinduan ini. Dalam masa yang sama, wujud kerinduan baru yang sukar dimengertikan. Pertemuan itu umpama hadiah terindah sepanjang tahun.
Syukur kepada takdir Ilahi. Terima kasih kepada sayang yang sudi hadir dan sudi menyapa walau hanya sekadarnya. Akhirnya kita bertemu jua di kepulan rindu asmara.
posted from Bloggeroid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan