Isnin, 31 Oktober 2016

Sayang, Rindu & Cinta

Bila sayang sentiasa terbayang
bila rindu asyik tertunggu-tunggu
bila cinta keindahan tercipta
bila sayang, rindu dan cinta bercantum
damailah jiwa
bagai dua hati menjadi satu
posted from Bloggeroid

Ahad, 30 Oktober 2016

Selagi Waktu Berputar

Sayang...

Selagi waktu terus berputar
selagi itu hati ini akan terus menyintaimu...

posted from Bloggeroid

Sabtu, 29 Oktober 2016

Wajahmu Mendamaikan Jiwaku

Assalamualaikum sayang...

Semoga sihat dan ceria selalu walau berada di mana sekalipun. Mungkin juga menyambung cuti dan bercuti di mana-mana. Didoakan segala berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan.

Langit tidak selalu cerah. Datang mendung gelaplah ia. Hidup umpama roda; sesekali di atas sesekali di bawah. Kesihatan tidak selalu baik. Kekadang di duga dengan kesakitan. Hati tidak selalu tenang kekadang bergelora di lambung ombak resah.

Beberapa dugaan datang melanda saya. Dalam mengharunginya, teringat yang kita sering berkongsi suka dan duka. Kenangan itu datang menjelma. Kita saling memberi nasihat dan cadangan. Kita saling memberi semangat dan kekuatan. Alangkah indah andai suasana itu masih ada. Andai suasana itu berterusan.

Tapi tidak mengapa. Kita sama-sama faham situasi kita. Dalam menyusuri perjalanan hidup ini, raut wajahmu yang ayu melalui potretmu yang sentiasa kutatap penuh dengan kerinduan, cukup mendamaikan jiwaku ini. Terima kasih atas senyuman manismu di potret-potret wajahmu. Ia merawat kalbuku.

Semoga diriku menjadi semangat buat dirimu jua.
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 
 

Jumaat, 28 Oktober 2016

Tertarik Sifat Pemalu Awak

Saya mengimbau tentang kita
kemesraan dan bicara kita
gurau senda dan suka duka kita
mengenang apa yang menarik tentang awak
hingga hati saya tersangkut dibuai asmara
sehingga saya jatuh cinta pada awak

Saya tertarik dengan sifat pemalu awak
suara awak yang seakan berbisik
pipi awak yang kemerahan bila berbicara
bibir awak yang bergetar bila menuturkan kata
ia mengasyikkan
dan saya rindukan keasyikan itu...

posted from Bloggeroid

Khamis, 27 Oktober 2016

Cinta Padamu

Terlalu rindu hingga tiada terkata
kasih, sayang dan cinta ini
bercantum di dalam hati yang sepi
memerhati
putik kasih
memekar sayang
berbunga cinta

Cinta padamu...
posted from Bloggeroid

Rabu, 26 Oktober 2016

Cintamu Adalah Nyawaku

Assalamualaikum sayang...

Saya tidak berapa sihat sejak semalam. Alhamdulillah, kini beransur pulih.

Banyak yang hendak dikongsikan dengan sayang tapi kita sama-sama maklum sukar untuk kita bercerita seperti dulu. Tidak mudah juga untuk berkongsi semua cerita melalui diari ini. Tidak terdengar gelak ketawa kita. Tidak terlihat senyuman kita.

Sementara itu, saya berharap sayang berada di dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa ceria.

Saya tersenyum sendirian tadi apabila mendengar bait-bait lirik "ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang barulah terasa ku bernyawa..." Ya, saya perlukan cinta daripada sayang untuk saya terus terasa bernyawa.

Semoga cinta dari sayang menjadi ubat sebagai ikhtiar untuk saya cepat sembuh seperti biasa.

Sayang, terima kasih atas segalanya.
posted from Bloggeroid

Selasa, 25 Oktober 2016

Menyala Di Pantai Hati

Menulis namamu di pasir pantai
bunyi ombak berlagu girang
angin menyapu sejuk ke muka
bibir mengukir sekilas senyuman
namamu terpahat di gigi pantai
terbayang wajahmu di mata hati

Alangkah indah jika dirimu di sini
kita berjalan berdua di tepi pantai
bercerita dan bergurau senda
melihat kanak-kanak berkejar riang
sambil menanti mentari berlabuh

Menulis namamu di pasir pantai
ombak datang memadam segala
namun begitu nama dan wajahmu
tetap segar menyala di pantai hati ini
buat selama-lamanya

posted from Bloggeroid

Isnin, 24 Oktober 2016

Khabar Dari Jauh

Assalamualaikum sayang...

Semoga dirimu sihat, ceria dan bahagia. Buat diriku ini, alhamdulillah sihat seadanya. Merindu seperti biasa dan terus menanti-nanti perkhabaran darimu.

Di kembara ini, suasana damai disini tidak lengkap tanpa kehadiranmu disisi. Terasa sunyi. Terasa terasing. Terasa ada kurangnya langkah kaki ini. Pun begitu, kerana adanya dirimu di dalam hati ini, segalanya ku tempuhi dengan tenang pada segala dugaan dan ujian.

Ingin kubelikan sesuatu sebagai kenanganku di perantauan ini, buat hadiah kecil untukmu, tapi apakan dayaku ini. Ingin saja kutitipkan segala peristiwa di sini secara langsung, buat berkongsi ceritaku denganmu tetapi ruang itu telah tiada. Ingin kukirimkan gambar-gambar kenangan di sini buat tatapan matamu, tetapi di alamat manakah dapat ku kirimkan?

Hanya doa dari jauh untuk dirimu yang senantiasa dekat dihati ini.  Memohon yang terbaik untukmu dan untuk kita.
 
 
 
posted from Bloggeroid

Ahad, 23 Oktober 2016

Suara Hati

Sayang...
saya sangat sayang dan sangat rindukan awak...

Luv u sweetheart.

posted from Bloggeroid

Sabtu, 22 Oktober 2016

Ingin Bersamamu

Ingin bercerita seperti selalu
berkongsi hampir setiap detik
ia suatu yang menyenangkan
hampir tiada rahsia antara kita

Tapi awak tiada
dan saya tiada siapa lagi
untuk bercerita dan berkongsi rahsia
di kembara ini saya keseorangan
walau di kelilingi oleh teman-teman
andai takdir mengizinkan
ingin saja mahu awak di sini
menemani, bersenda gurau, ketawa bersama

Sayang...
walaupun diri ini jauh di mata
rasakanlah betapa dekat di dalam hati
apakah ada getar rindu yang sama antara kita?

posted from Bloggeroid

Jumaat, 21 Oktober 2016

Doamu Mengiringi Perjalananku

Di perjalanan jauh ini
kutitipkan agar dirimu mendoakanku
semoga perjalanan dan tujuan dipermudahkan

Jawapan ringkasmu
adalah semangat yang kubawa bersama
tersemat indah di sanubari

Terima kasih, sayang

posted from Bloggeroid

Khamis, 20 Oktober 2016

Pengakuan

Bila menatap wajah manjamu
mata ini tidak lagi menoleh pada yang lain
bila dirimu telah berada dihati ini
tiada ruang lagi untuk yang lain

posted from Bloggeroid

Rabu, 19 Oktober 2016

Sentiasa Dihati Ini

Hari ini lebih tenang dan nyaman
terasa seolah dirimu ada di samping
bagai kita sedang saling menyapa
berbicara berbunga seperti biasa

Dirimu telah sentiasa ada dihati
berada didalam pelukan asmara
akan kupelihara hingga selamanya
perasaan itu menguntum indah

posted from Bloggeroid

Selasa, 18 Oktober 2016

Sapaanmu Merawat Sepi

Sesekali menyapa bertanya khabar
mendoakan sihat ceria dan bahagia
sapaan ringkas penuh makna
menanti jawapan dengan debaran

Balasan sapaanmu walau ringkas
ia cukup bermakna pada diriku
ia menghidupkan hari suramku
ternyata mentari petang ini mengerti
tersenyum indah di sebalik awan

Terima kasih buat tersayang
masih sudi merawat sepi
wajahmu kian terbayang-bayang
ingin bertemu di dalam mimpi

posted from Bloggeroid

Isnin, 17 Oktober 2016

Diam Dalam Sepi

Tertanya-tanya khabarmu
tidak tertanggung menahan resah
hampir menghubungi dirimu tadi
entah mengapa tidak tertulis padamu
lantas diamkan diri didalam sepi

Mungkin esok masih ada untuk kita
kerana itu tidak menyapa hari ini
hanya menulis secebis cerita
di diari yang terus terisi ini

Gerak hati bagai berkata
dirimu menanti sapaanku
atau itu hanya anggapanku
kaulah yang lebih tahu hatimu
dan rindu ini terus dambakan dirimu


 

posted from Bloggeroid

Ahad, 16 Oktober 2016

Rindu Yang Tersangat

Sayang...
apakah agaknya aktiviti hari ini
walau apapun, walau di mana jua
bawalah rindu ini bersamamu
telah terlalu lama ia tidak keruan
menagih simpati memohon pengertian

Kirimkanlah perkhabaranmu
berdebar-debar membayangimu
kerana rindu ini
rindu yang  tersangat...

posted from Bloggeroid

Sabtu, 15 Oktober 2016

Namamu Dibibirku

Namamu sentiasa dihatiku
pagi ini ku sebut namamu dibibirku
bergetar bibirku menyebutnya
bergetar telingaku mendengarnya
berdegup debar jantungku menerimanya
menitis airmataku menyebut nama
kerinduanku ini

Nama yang indah
untuk seorang yang indah di mataku
yang istimewa di hatiku
yang sentiasa bertahta di jiwaku
posted from Bloggeroid

Jumaat, 14 Oktober 2016

Menanti Lena

Malam semakin larut
siang kian menjenguk
mata masih berkelip-kelip
mengintai luar jendela yang kelam
menanti lelap membuai mimpi

Terbayangkan ayu wajahmu
terukir senyuman di bibir ini
tentu waktu ini telah melenakan diri
atau sedang melayan mimpi indah

Sayang...
izinkan kubawa dirimu dalam lena
dan kita bertemu di dalam mimpi
buat mengubat lara rindu ini
posted from Bloggeroid

Khamis, 13 Oktober 2016

Rindu Bayangan

Maafkan diari ini
terlalu banyak bicara rindu
terlalu lama tidak bersua
terlalu dalam menikam sukma

Rindu bayanganmu
kerana jasad bagaikan jauh
berada di laman taman larangan
tercari-cari bayang wajahmu
andainya sudi untuk bertemu
melepas lelah rindu menggunung

Maafkan diri ini
bicara ini dari hati yang tulus
hati yang penuh pepohon rindu

posted from Bloggeroid

Rabu, 12 Oktober 2016

Kekal Selamanya

Saat berganti minit
siang berganti malam
hari berganti minggu
sayang saya pada awak tiada ganti
tetap kekal selamanya
posted from Bloggeroid

Selasa, 11 Oktober 2016

Cinta Penyair

Bila menyintai seorang penulis
tentu awak dapat tempias untuk menulis
- tuliskanlah sesuatu
(sudah lama awak tidak menulis)

Bila dicintai seorang penulis
tentu awak jadi puisi dan syairnya
posted from Bloggeroid

Isnin, 10 Oktober 2016

Doa Kita

Salam sayang buat tersayang,

Sentiasa mendoakan semoga ceria dan bahagia terus menjadi milik awak walau di mana awak berada dengan harapan diri saya ini sentiasa berada di dalam hati awak.

Semoga doa yang sama buat saya daripada awak dan ketahuilah diri awak memang telah sentiasa ada di dalam hati saya.

Catatan ringkas tapi penuh makna.
posted from Bloggeroid

Ahad, 9 Oktober 2016

Pantun Rindu

Ingin merisik khabar beritamu
sentiasa tertanya akan dirimu
siang malam mengingatimu
menantikanmu tiada jemu

Di sini aku seorang perindu
duduk seorang termangu-mangu
kenangan datang semanis madu
hadirmu sayang kutunggu-tunggu

Hadirlah kasih hadirlah sayang
tak mampu hidup dalam kesepian
dirimu asyik ku terbayang-bayang
menyayangimu hingga kesampaian
posted from Bloggeroid

Sabtu, 8 Oktober 2016

Wajahmu Dimana-mana

Redup pagi ini menenangkan
angin sejuk menyapu muka
menoleh pada seseorang
sedang duduk berkumpul
berbicara ceria sesama mereka

Kutatap wajah itu dari jauh
wajah kerinduanku
tak tumpah wajahnya seiras wajahmu
hatiku terus meronta menggamit rindu
posted from Bloggeroid

Jumaat, 7 Oktober 2016

Peristiwa Ketika Hujan

Hujan pagi ini ada cerita tersendiri
teringat hujan di suatu petang
lantas ingin menjemput dirimu pulang
tetapi kau menolaknya dengan lembut
akhirnya pulang dalam kebasahan

Tawaranku menjemputmu adalah kerana hujan
tidak mahu dirimu pulang dalam kebasahan
dirimu pula tidak mahu menyusahkanku
lalu membonceng motosikal dalam hujan
rupanya kita saling salah faham
kukira dirimu pulang dengan berkereta
kau pula ingatkan yang cuaca baik tanpa hujan

Hujan pagi ini mendamaikan
ingatanku pada peristiwa itu
membuat bibirku mengukir senyum
jom kita berkongsi senyuman ini...



Khamis, 6 Oktober 2016

Menantimu Dengan Setia

Rindu ini membenih titisan sendu
mengalir panas membasahi pipi
kukutip keping-keping kaca airmata
yang jatuh berderaian di kaki lantai

Rindu ini membawa diriku kepadamu
melintasi daerahmu mengintai dari jauh
mengharap bayangan kelibatmu
ingin mencium harum tubuhmu
menatap wajah ayu kerinduanku
merenung manis bibirmu tersenyum padaku

Sayang...
kembalikanlah semangatku
walau dengan sebaris ayat dari bibirmu
kembalilah sayang
ku menantimu dengan setia...
posted from Bloggeroid

Rabu, 5 Oktober 2016

Pelangi Di Langit Petang Kita

Panjang bicaraku dalam doa pagi ini
mengharapkan citra kemesraan kita
bercantum seperti dulu malah lebih
mengharap agar kebahagiaan kita
berpanjangan buat selama-lamanya
mengharap dunia indah garapan kita
berwarna warni semula hingga akhir nanti

Merintih di dalam doa panjang itu
memohon agar tuhan merestuinya
kerana takdir pertemuan dulu dan
takdir perpisahan kemudiannya
adalah milikNya yang hakiki
memohon takdir pertemuan semula
walau kita tidak pernah berpisah
tapi terasa kita bagai tidak bertemu

Sebak dalam bicara panjang pagi ini
semoga doa ini mendapat tempat
dimakbulkan permintaan ini olehNya
menanti pelangi indah muncul semula
di langit petang kita berdua

posted from Bloggeroid

Selasa, 4 Oktober 2016

Rindukan Bisikanmu

Salam Sejahtera buat dirimu,

Tidak dapat tidak, walaupun saban hari menitipkan sesuatu di diari ini buatmu, hati ini meronta-ronta ingin menghubungimu. Lantas jari jemari ini, menulis kepadamu menyantun salam dan bertanya khabar.

Seringkali juga, jari ini ingin mendail padamu, bibir ini ingin membisikkan rindu padamu, telinga ini ingin sangat mendengar suara bisikanmu yang lemah lembut itu. Tentu dirimu ingin mendengar suaraku membisik bicara kepadamu. Tapi bolehkah begitu?  Sudikah jika diri ini menghubungimu?

Terima kasih sudi membalas sapaanku hari ini. Walau hanya text yang ringkas, dan begitulah balasanmu di setiap kali menyapamu; tapi hati ini merasa lega dan girang. Semoga keakraban ini berterusan dan berpanjangan.

Terima kasih, sayang.


Isnin, 3 Oktober 2016

Diari Ini Terus Menyapamu

Tarikh hari ini ada kenangan sendiri
kita tidak pernah meraikannya
setiap hari ada cerita tersendiri
yang boleh kita raikan bersama
cuma kita memilih tarikh tertentu
untuk jadikan ianya lebih istimewa

Tarikh ini antara yang istimewa
kita mula bertegur sapa
tanpa tertinggal sehari pun
bermula dari tarikh hari ini
dua tahun yang lalu

Sebelumnya
dan lama sebelumnya lagi
kita bertegur sapa sekali sekala
tapi bukanlah setiap hari

Sejak itu kita tidak pernah tertinggal
bertegur sapa dan beramah mesra
hingga timbul bibit-bibit percintaan
hingga hati ini penuh dengan cintamu

Diari ini penyambung sapaan kita
tidak sehari pun tertinggal menyapamu
buat pengganti diari lama kita
akan terus kucoretkan di sini
segalanya tentang kita
selagi ada nyawa ini

posted from Bloggeroid

Ahad, 2 Oktober 2016

Bermimpikanmu Di Maal Hijrah

Terdiam seketika awal pagi ini
terbangun selepas bermimpi
berdebar-debar degup jantung
mimpi indah itu bermain di minda
hadirmu di dalam mimpi
bagai hadirmu di alam nyata
terasa gugup untuk bersuara
walau hanya di alam mimpi

Wajahmu cukup ayu memikat kalbu
senyuman manis tertunduk malu
puas kutatap wajah kerinduan itu
ingin bersuara namun mulut terkatup
lantas aku membalas senyummu
tika seketika itu mengerling padaku
walau sesaat tapi terasa getarannya
bila mata kita bertentang mata

Sayang...
bermimpikan dirimu di tahun baru
bagai membuka episod baru
hubungan mesra yang tersedia terjalin
moga akan terus akrab dan teguh
Salam Maal Hijrah buat dirimu
moga hari-hari yang mendatang ini
berikan lebih kebahagiaan buatmu,
buat kita dan buat semua, selama-lamanya
posted from Bloggeroid

Sabtu, 1 Oktober 2016

Salam Rindu

Assalamualaikum sayang...

Selamat bercuti. Kemana agaknya cuti ini yer? Masih perlu ke pejabat? Atau barangkali bercuti ke mana-mana? Atau hanya di rumah sahaja?

Walau di mana dan dengan aktiviti apapun, semoga ceria-ceria selalu.

Salam rindu dari seorang perindu...
posted from Bloggeroid