Ahad, 31 Julai 2016

Degup Pertemuan Itu

Assalamualaikum sayang...

Terima kasih sudi bersua muka semalam. Saya akui saya cukup gembira di pertemuan itu sehingga tergugup seketika. Ada yang berbisik selepas itu bertanya mengapa saya seolah-olah kehilangan kata-kata dan tidak seperti biasa.

Pertemuan semalam indah. Rindu saya terubat jua apabila menatap wajah kerinduan saya. Saya gagal menjadi seperti biasa. Jiwa bergelora, kalbu riang tidak terhingga.

Saya faham situasi semalam tidak sesuai untuk kita berbicara. Saya juga faham ada halangan untuk kita berbual mesra. Tapi bila awak seolah langsung tidak menoleh kepada saya, hati saya rasa sedih. Lebih terasa, apabila berlalu pergi, awak langsung tidak bertegur sapa dengan saya atau sekurang-kurangnya menoleh seketika sebagai tanda selamat tinggal sebelum awak beredar untuk pulang.

Saya tidak pasti apa yang bermain di fikiran awak ketika itu. Saya berharap tidak ada apa-apa yang tidak kena. Saya rindukan awak. Saya sayangkan awak.

Saya perlukan pertemuan yang lebih baik dan lebih mesra dari semalam. Jika tidak pun, sekurang-kurangnya berbicara walau tanpa bersua muka. Saya harap awak faham. Saya juga perlu faham situasi awak. Saya memujuk hati agar memahaminya.

Semoga bahagia jadi milik kita bersama. Selama-lamanya.
 
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 

Sabtu, 30 Julai 2016

Cinta Sejati

Sungguh istimewa malam ini
setelah sekian lama menanti
kita dapat bertemu lagi
wajah ayu milikmu kutatap rapi
merawat rindu yang tiada pernah terhenti

Jiwa sungguh riang sekali
bagai bernyanyi dan menari di hati
dalam menatap raut kerinduan
ternanti-nanti jelingan berseri
kalbu menjerit ingin berbual
mulut terkatup hilang melodi

Mata tidak mahu melepaskan pergi
tiada berkelip takut kehilangan lagi
tapi tidak sedikit pun matamu menoleh
bagai diriku ini tiada di sini

Sayang...
walau apa anggapanmu padaku
tidak sedikit pun hatiku berubah
cinta ini akan terus ku jaga rapi
walau apapun akhirnya nanti
percayalah cinta ini cinta sejati!


posted from Bloggeroid



Jumaat, 29 Julai 2016

Tentang Kita

Teruja bila awak membalas sapaan saya
sejak dari mula perkenalan kita
apa-apa dari awak memang mengujakan
awak mempersonakan saya
dari situlah berputiknya rasa ini
lalu kita menjalinkan kemesraan

Cuma sapaan awak kali ini
terasa hambar di hati ini
mungkin saya silap menduga
tetapi itulah yang saya rasa
maafkan saya andai terkhilaf
pun begitu saya amat bersyukur
kita masih saling menyapa

Sayang...
walau apa dugaan menimpa
walau apa cabaran mendatang
walau siapa hadir menghalang
saya ingin mengharungi bersama awak
ia bukan tentang awak atau tentang saya
ia adalah tentang kita...

posted from Bloggeroid

Khamis, 28 Julai 2016

Tidak Akan Berubah

Saya teringin sangat hendak menyapa awak. Terasa terlalu lama tidak bertegur sapa. Apakah hanya saya saja yang berperasaan begitu?

Saya tahu, awak begitu sibuk dengan pekerjaan awak. Saya tahu, awak berkejar dengan masa untuk menyiapkan tugasan awak. Saya tahu saya tidak patut ganggu awak. Tapi pada masa yang sama, saya terasa bahawa awak senang kalau saya menyapa awak. Sekurang-kurangnya barangkali dapat mengurangkan stress awak di tempat kerja.

Apakan daya kita; kemesraan tidak boleh seperti dulu. Sekurang-kurangnya di waktu ini. Kita sama-sama tahu dan faham.

Percayalah sayang, kasih sayang dan cinta ini tidak akan pernah berubah walau sedetik pun. Semoga kita sama-sama berada di dalam rahmatNya.
 
 
 


posted from Bloggeroid

 
 
 
 

Rabu, 27 Julai 2016

Bertahta Dihati

Salam sayang teramat sayang buat sayang...

Hari ini saya agak sibuk. Bertemu dengan beberapa orang bagi membincangkan soal peningkatan ekonomi diri, keluarga dan masyarakat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar.

Pada waktu yang sama, ingatan pada awak sentiasa bermain di fikiran dan bertahta di hati. Tertanya-tanya khabar awak sambil mendoakan semuanya berjalan lancar dan indah.

Salam kerinduan...
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Selasa, 26 Julai 2016

Tuhan, Satukanlah Kami Semula

Dalam kesibukan menjalani kehidupan ini, ternyata ingatan pada awak tidak pernah berganjak walau sedikit pun. Teringat-ingat dan terbayang-bayangkan awak.  Sesekali, awak muncul dalam mimpi saya. Bermimpikan awak dalam lena saya, adalah sesuatu yang indah. Bagai jasad sebenar awak yang hadir.

Saya sangat sayangkan awak. Saya sentiasa rindukan awak. Perasaan sayang dan rindu ini sentiasa membara. Jiwa semakin bergelora. Saya tidak pernah merasakan sedemikian sebelum ini. Sebab itu, bila awak 'pergi', saya sangat-sangat terasa kehilangan awak.

Tapi saya bersyukur juga. Awak tidak hilang sepenuhnya. Sesekali kita menyapa juga. Ia menguatkan semangat saya. Semoga ia menguatkan semangat awak juga.

Waktu datang dan pergi. Awak yang pergi, semoga suatu masa, kembali semula. Itulah antara doa saya untuk awak. Semoga tuhan menyatukan kemesraan kita semula.
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Isnin, 25 Julai 2016

Menyapa Dari Hati

Assalamualaikum sayang...

Salam sejahtera buat dirimu yang sentiasa berada di dalam kerinduanku...

Semoga terus tabah menjalani tugasan harian di samping tanggungjawab yang lainnya dan sentiasa berada dalam keceriaan dan kebahagiaan.

Menyapa awak dan berharap seolah awak menyapa saya.
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 

Ahad, 24 Julai 2016

Rindu Lagi

Memandang dirimu dari jauh
di keramaian itu wajahmu ayu
rindu hatiku untuk bertemu
tapi jasadku jauh di mata

Terasa segar mata ini
raut wajah damai itu bercerita
nampak bahagia dengan senyuman
tersentuh hati kerinduan ini

Semoga terus bahagia
semoga terus ceria
bahagiamu bahagiaku
ceriamu adalah ceriaku jua

Sayang... saya rindu...



posted from Bloggeroid

Sabtu, 23 Julai 2016

Tetap Setia

Dalam keriuhan kemeriahan
bersama teman-teman
hati tiba-tiba menjadi sayu
teringat kerinduan pada bidadari
entah apakah khabarnya hari ini

Alangkah indah jika ada bersama
dapat juga bersua muka dan berbicara
bergurau senda mengusik jiwa
tapi apakan daya kita
belum berjodoh bertemu semula

Sayang...
walau di mana dirimu berada
ingatan kepadamu tak pernah putus
semoga dirimu terus bahagia
daku di sini tetap setia...
 
 
posted from Bloggeroid

Jumaat, 22 Julai 2016

Pertama Untuk Yang Teristimewa

Berkongsi ceria bersamamu
berharap berjaya dalam usaha ini
doamu menguatkan azam
semoga indah akhirnya nanti

Banyak yang kita lalui bersama
kenangan itu mengasyikkan
andai dapat ku putarkan masa
tentu aku telah berlari mengejarmu
menghadiahkan ceria ini di hadapanmu

Tapi tak mengapa, sayang...
yang pertama tentulah
untuk yang teristimewa
biarku simpan buat sementara ini
apabila tiba waktunya nanti
ia tetap menjadi milikmu jua...
posted from Bloggeroid

Khamis, 21 Julai 2016

Menanti Bertemu

Sayang..
terasa ingin bertemu
ingin sekali melihat wajah ayu itu
atau sekurangnya berbicara
ingin mendengar suara manja itu
atau mungkin di dalam lena
ingin mengembara bersama-sama
walau hanya di alam mimpi sahaja.

Menanti tuhan menemukan kita...


posted from Bloggeroid

Rabu, 20 Julai 2016

Pesanan Ringkas

Assalamualaikum sayang...

Terasa awak begitu sibuk menyiapkan tugasan. Terbayang awak berkejar dengan masa. Biasanya bila tiba saat-saat seperti ini, saya selalu berpesan agar awak sabar dan tenang.

Dalam mengejar 'dateline', jangan abaikan sarapan dan waktu makan awak. Nanti awak akan lebih stress. Waktu solat juga, sebolehnya solat awal waktu.

Semoga urusan awak dipermudahkan dan semua usaha awak mencapai kejayaan dan matlamat. Amin.


posted from Bloggeroid

Selasa, 19 Julai 2016

Suara Hati

Entah mengapa terasa awak begitu dekat dengan saya malam ini. Bagai awak memanggil-manggil saya ke sisi. Bagai terdengar suara awak cuba membisikkan sesuatu di telinga saya. Bagai awak ingin saya berkata sesuatu kepada awak.

Mungkin itu detak hati awak. Atau mungkin itu hanya ilusi hati saya. Segalanya berkemungkinan.

Malam semakin lewat.  Terasa saya ingin bermimpikan awak malam ini, agar lena saya panjang mengukir senyuman.

Selamat malam sayang...
posted from Bloggeroid

Isnin, 18 Julai 2016

Sapaan Menyentuh Jiwa

Tenang hati ini sepanjang hari
awak sudi membalas sapaan saya
walau hanya menyapa ringkas
ia cukup menyentuh jiwa ini
ia bagai hadiah buat saya

Terima kasih, sayang...
untuk apa-apa yang saya harus berterima kasih
terasa kasih sayang ini bertambah
semarakkan hati ini dengan rasa cinta
menghidupkan jiwa yang lara

Sayang...
kita kekalkan apa-apa yang kita selesa
pada hubungan yang hanya kita mengerti
hadir awak menyerikan hidup  saya
semoga hadir saya menyerikan awak
 
 
 
posted from Bloggeroid

Ahad, 17 Julai 2016

Wangian Cinta

Sunyi malam ini
terbayangkan senyuman manismu
senyuman yang menggegar jiwaku
wajahmu indah berseri dengan senyuman itu
lalu kuntum senyum terukir dibibirku

Sepi hati ini
bagai terdengar bisikan suara manjamu
suara yang sering menggetar sanubariku
menyusup masuk ke dalam jiwa
membuai rasa penghibur lara

Sunyi dan sepi tanpamu di sisi
di hati ini sentiasa terasa kehadiranmu
segar subur di dalam kalbu
tak pernah ku tinggalkan walau sedetik
ku bawa bersama mengikut langkahku

Sayang...
terima kasih atas kasih sayangmu
walaupun  zahirnya kita terpisah
ikatan kemesraan ini kekal utuh
simpulan kasih ini terus tersemat
perasaan cinta ini sentiasa mewangi
posted from Bloggeroid

Sabtu, 16 Julai 2016

Dekat Di Mata Dekat Di Hati

Teringat bualan kita lama dulu
sering terjadi pada awak
dekat di mata dekat di hati
jauh di mata tersisih di hati
lantas saya bertanya, "saya di mana?"
awak menjawab sambil tersenyum
"awak perlu dekat di mata saya
agar selalu dekat di hati saya..."

Kini saya telah jauh dari mata awak
kita bukan saja tidak lagi bertemu
malah tiada madah seloka seperti dulu
tiada lagi senda gurau seperti selalu
Apakah kini saya masih dekat di hati awak?

Perasaan saya tidak pernah berubah
saya harap ia tidak akan berubah
cinta dari hati yang tulus ikhlas
tentu tidak akan mengubahnya
walau badai datang menimpa
ia tetap teguh di persada jiwa
redha untuk terus menyintai
akur dengan suratan takdir
menyintai tidak semestinya memiliki
walaupun masih ingin memiliki
sekurang-kurangnya hati awak...

posted from Bloggeroid

Jumaat, 15 Julai 2016

Berharap Sinar Kembali Terang

Assalamualaikum sayang kerinduanku...

Dalam mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaanmu, hati terus tertanya khabar beritamu sambil berharap dirimu sihat dan ceria seperti selalu.

Hari berganti hari dan detik terus berlari berlalu pergi. Terasa amat sunyi tanpa sapaanmu. Cuba mengubati diri ini sendirian, tercari-cari ubatnya hilang. Rupanya ada penawar itu pada dirimu. Ubatilah diriku dengan sapaanmu. Buat dirimu pula, usahlah bimbang kerana sentiasa kuubati dirimu dengan doaku.

Semoga kita terus sejahtera dan bahagia. Usah putus doa agar takdir kembalikan kemesraan kita.

Salam sayang untuk tersayang...
 
 
posted from Bloggeroid
 
 

Khamis, 14 Julai 2016

Rabu, 13 Julai 2016

Menanti Takdir

Takdir telah menemukan kita
berkenal, bermesra, bermanja
kita lalui saat-saat indah itu bersama
tunas kasih yang kita semai
berbunga sayang lalu memekar cinta

Takdir jua yang memisahkan kita
terasa kosong, sunyi, sepi, keliru
kita tidak lagi bertegur sapa seperti selalu
tiada daya bangun berdiri berlari lagi
hidup bagaikan mati tidak bernyawa

Takdir menemukan kita
takdir jua memisahkan kita
mengharap takdir menemukan kita semula
dalam entiti lebih bermakna
dan kita bersama-sama dalam bahagia
mengejar pelangi di langit petang

posted from Bloggeroid

Selasa, 12 Julai 2016

Terangi Jiwa

Cantik bulan malam ini. Walaupun hanya separuh tetapi sinarnya menerangi seluruh alam.

Terbayangkan awak; bidadari saya. Kecantikan awak penuh pada saya. Bukan setakat wajah awak, tetapi tuturkata awak, suara manja awak, budi bahasa awak, gurau senda awak, sapaan awak, segalanya tentang awak yang nampak cantik pada saya. Awak telah menerangi seluruh jiwa raga saya.

Saya rindu pada awak. Sayang... saya sangat rindukan awak.
 
 
 
posted from Bloggeroid
 
 
 

Isnin, 11 Julai 2016

Persis Ditemani

Assalamualaikum sayang...

Mentari petang mengiring perjalanan panjang saya hari ini. Ia seolah-olah awak yang mengiring saya, sama-sama di samping saya, menemani saya. Sesekali saya tersenyum pada mentari itu kerana teringatkan awak.

Awak pula tentu telah mula bertugas kembali setelah bercuti sempena Hari Raya. Atau masih bercuti? Saya tidak pasti.

Semoga sambutan Aidil Fitri kali ini di sambut meriah bersama seisi keluarga, saudara mara dan teman-teman; yang jauh dan dekat.

Saya menyambutnya seperti rutin Aidil Fitri sebelum ini. Mengunjungi sanak saudara dan teman-teman.

Walaupun kita tidak menyambutnya bersama-sama pada kali ini, saya tetap merasakan yang awak ada di mana sahaja saya pergi kerana saya membawa hati awak ke mana saja saya berada.

Sayang, semoga selamat segalanya buatmu...
 
 
 
posted from Bloggeroid

Ahad, 10 Julai 2016

Dekat Dihati

Membawa rindu ke mana-mana
teringatkan kekasih jauh di mata
mendoakan bahagia sentiasa bersama
berharap segala indah buat dirimu

Selamat berhujung minggu, sayang...

posted from Bloggeroid

Sabtu, 9 Julai 2016

Bahagiamu Bahagiaku

Tersua senyuman itu di muka buku
awak nampak ceria dan bahagia
saya lebih rasa bahagia melihatnya
kerana memang sejak dari dulu lagi
kebahagiaan awak adalah keutamaan saya

Gembira menatap wajah seri melati
cuba meleraikan kerinduan di hati
dan kini saya semakin mengerti
cuma hati seakan meminta simpati
walhal keutamaan itu perlu ditepati

Berbahagialah duhai sayang
kerana bahagiamu bahagiaku jua
cinta ini akan terus ku pelihara
seribu tahun akan ku nanti jua
selagi ada hayat hingga ke syurga

posted from Bloggeroid

Khamis, 7 Julai 2016

Terlalu Rindu

Terjaga dari lena di kejauhan ini
hati di gamit perasaan yang teramat
hanyut di lautan rindu bergelora
terdampar di pantai kasih tak bertepi
mencari-cari sosok dirimu

Sentiasa berdoa untuk dirimu
pagi ini kutambah lagi doa ini
agar kemesraan ini kembali seperti dulu
terlalu rindukan saat-saat itu semula
terlalu rindu...

posted from Bloggeroid

Rabu, 6 Julai 2016

Salam Aidil Fitri

Takbir raya berkumandang di mana-mana
hati saya lebih sayu berbanding dulu
mungkin ini Syawal paling sedih buat saya
tanpa awak menemani seperti selalu

Riuh rendah suara kanak-kanak
menyambut kedatangan dengan ria
saya cuba berwajah manis
airmuka tidak dapat berbohong
lalu memujuk-mujuk hati sendiri

Ternyata awak luar biasa dalam hidup saya
memberi makna tersendiri di hati ini
berharap awak merasai yang sama
hadir saya beri makna dalam hidup awak
ini akan mendamaikan jiwa saya
sambil membayangkan awak di depan mata

Sayang...
Salam Aidil Fitri buat diri awak
kemaafan zahir batin dari saya
semoga ceria awak berpanjangan
di samping keluarga dan sanak saudara...

posted from Bloggeroid

Selasa, 5 Julai 2016

Berakhirnya Ramadan

Aidil Fitri menjelang tiba
selepas kita di uji dengan Ramadan
apakah meningkat amalan
berbanding tahun-tahun yang lalu
apakah sama saja atau makin menurun

Tuhan menguji kita juga
ternyata Ramadan kali ini berbeza
kita di duga dengan ketentuanNya
apakah kita berjaya menghadapinya
atau tertewas dalam ujiannya

Ternyata sepi tanpa awak menyantuni
terasa kehilangan dalam Ramadan ini
semua yang di kongsi dulu
kini menjadi kenangan abadi
terus berharap moga suatu hari
hubungan kita semesra dulu
posted from Bloggeroid

Isnin, 4 Julai 2016

Minggu Baru

Assalamualaikum sayang...

Hari baru di minggu baru. Semoga dapat semangat baru dalam apa jua yang diusahakan.

Hari Raya menjelang tiba. Bila mula bercuti dan berapa lama? Beraya di mana? Buat kuih apa tahun ini?

Soalan-soalan yang biasa pada tahun-tahun lalu. Biasanya bila ditanya, terus berjawab. Tidak pada tahun ini.

Sepi. Dalam diam, kenangan bersamamu, terpapar di ingatan.

Indah. Terukir senyum dibibirku. Terbayang wajah kerinduanku.

Bahagialah walau di mana berada dan doakan diriku juga. Semoga ada pertemuan antara kita.

Salam kasih, sayang dan cinta.
posted from Bloggeroid

Ahad, 3 Julai 2016

Moga Jadi Nyata

Tak sangka kita berjumpa lagi
awak menyapa saya lalu kita berjalan berdua
laju langkah awak hingga saya terkejar-kejar
alunan suara manja yang perlahan itu
membuat saya perlu lebih bersedia mendengar

Saya tak ingat topik bualan kita
lebih banyak mendengar suara kerinduan itu
mata menatap wajah kesayangan itu
bibir mengukir senyum untuk cinta itu
indah sungguh paras rupa awak ketika itu
manis sungguh senyuman awak

Sayang...
walau pertemuan itu di dalam mimpi
terasa ia begitu dekat dengan nyata
merdu suara kerinduan itu cukup mendamaikan
jelingan itu cukup mendebarkan
wajah tersipu-sipu itu cukup menawan kalbu ini

Terima kasih, sayang
sudi hadir lagi walau hanya di dalam mimpi
ia menjadi penguat semangat
semoga suatu hari nanti
kita bertemu semula di alam realiti
 
 
posted from Bloggeroid

Sabtu, 2 Julai 2016

Bahagia Bersamamu

Tertanya-tanya...
bagaimana awak tahu hati saya
sehingga meminta jangan bersedih
seolah-olah awak sedang membaca
tulisan-tulisan saya di laman ini
walhal saya belum sempat memberitahu lagi

Amat menghargai...
sudi untuk sentiasa mendoakan saya
agar sentiasa dalam bahagia
begitulah doa saya untuk awak
sejak berpuluh-puluh purnama
berterusan hingga ke akhir nanti
agar kebahagiaan menjadi milik awak
dan menjadi milik kita jua...

Sayang...
diri ini hanya akan bahagia
jika awak juga berada di dalam bahagia
diri ini akan lebih bahagia
jika bahagia itu bersama-sama awak
 
 
 

Jumaat, 1 Julai 2016

Nota Indah

Nota ringkas itu
kejutan yang menggembirakan
ia hadiah terindah buat saya
bagai awak berbisik lembut ke telinga
saya terapung-apung terpesona

Jutaan detik yang menyiksa
buat saya jadi sengsara
nota itu bagai ubat merawat lara
saya sembuh dengan kata-kata itu

Nota itu tiba tepat pada waktu
hadir tika dakwat hampir kering
penaku kini menari lagi di diari ini
hadir tika semangat mula lesu
kini ia bertambah kuat semula
hadir tika kotak fikir menerawang
ia kembali cergas dan waras

Nota ringkas itu
walau secebis di ruang mata
ia begitu berharga di ruangan hati
memberi semangat dan kekuatan
bagai bertemu di alam nyata
bagai mati dihidupkan semula

Sayang...
terima kasih memahami dan mendoakan
semoga kita sama-sama bahagia
dan bahagia menjadi milik kita

posted from Bloggeroid